Penggunaan sistem pengendalian berasaskan Linux Linux

Pengguna Linux, yang secara tradisinya perlu memasang dan melakukan tatarajah terhadap sistem sendiri, lebih cenderung terhadap teknologi berbanding pengguna Microsoft Windows atau Mac OS. Mereka sering mendapat gelaran "hacker" atau "geek". Bagaimanapun stereotaip begini semakin kurang dengan peningkatan sifat ramah-pengguna dan berleluasannya pengguna edaran Linux. Linux telah membuat pencapaian yang agak baik dalam pasaran komputer pelayan dan komputer tujuan khas. Contohnya, mesin render imej, dan khidmat web. Linux juga mula popular dalam pasaran komputer atas meja.

Linux merupakan asas kepada kombinasi perisian-pelayan LAMP, singkatan daripada Linux, Apache, MySQL, Perl/PHP/Python. LAMP telah mencapai populariti yang luas dalam kalangan pembangun Web.

Linux juga sering digunakan sebagai sistem pengendalian terbenam. Kos Linux yang murah memungkinkan penggunaannya dalam peralatan seperti Simputer, iaitu komputer kos rendah yang disasarkan pada penduduk berpendapatan rendah di negara-negara membangun.

Dengan persekitaran atas meja seperti KDE dan GNOME, Linux menawarkan antara muka pengguna yang lebih menyerupai Apple Macintosh atau Microsoft Windows daripada antara muka baris perintah seperti UNIX. Justeru itu, lebih banyak perisian grafik boleh didapati pada Linux, yang menawarkan kebanyakan fungsi yang ada pada atur cara dagangan.